Skip to main content

PEMBELAJARAN MASTERI


KUMPULAN 5

Definisi Pembelajaran Masteri

Menurut Bloom 1968, Pembelajaran Masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar. Menurut falsafah Bloom, telah mengatakan bahawa semua atau hanpir semua murid boleh menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran dengan baik dan penuh keyakinan sekiranya keadaan yang sesuai serta masa yang mencukupi disediakan untuk murid itu menguasai pembelajarannya.

Manakala menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001) telah menyatakan bahawa Pembelajaran Masteri merupakan sesuatu pendekatan pembelajaran dan pengajaran untuk meastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasilakn dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.



Konsep Pembelajaran Masteri
  • Suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang diharapkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit pembelajaran seterusnya.
  • Pendekatan ini memerlukan proses PdP yang terancang dan berkualiti serta memberi fokus kepada masa pembelajaran yang diperlukan
  • Cabaran utamanya ialah menyediakan masa yang mencukupi untuk mengatur strategi pembelajaran untuk memastikan semua pelajar mencapai keupayaan yang sama.


Contoh Pengaplikasian Pembelajaran Masteri

Model Masteri ini adalah untuk menentukan hasil pembelajaran “Learning outcomes” dalam program pembelajaran. Antara kelebihan Model Masteri ini adalah bertujuan membolehkan semua pelajar dalam kelas akan dapat mencapai pengetahuan atau kemahiran yang ditentukan oleh guru sekiranya guru dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti dan diberi masa yang sesuai. Maka, guru akan menjalankan ujian I dan II bagi model Masteri tersebut. Misalnya, guru akan menetapakan pelajar dikehendaki betul menjawab soalan sekurang-kurangnya 17/20 soalan. Pelajar yang gagal mencapai tahap kecekapan minima dikehendaki diberi semula pemulihan oleh guru bagi memastikan ujian II akan dapat skor markah yang ditetapkan.  Jadi pelajar yang lemah dapat bergerak bersama-sama dengan pelajar lain dan tidak akan ketinggalan dalam pelajarannya. 



Model Pembelajaran Masteri



1. Penentuan Hasil Pembelajaran
Hasil Pembelajaran merupakan objektif pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid pada akhir sesuatu unit pembelajaran. Hasil Pembelajaran perlu ditentukan untuk mengenal pasti apa yang perlu dikuasai oleh murid dan memberi tumpuan dalam penguasaan hasil pembelajaran. Selain itu, merancang pelbagai kaedah dan bahan bantu belajar. Ia juga dapat membantu guru untuk membina ujian formatif dan sumatif. Hasil pembelajaran dinyatakan berdasarkan Sukatan Pelajaran dalam, bentuk tingkah laku yang boleh diperhatikan dan diukur. Dinyatakan secara eksplisit, jelas dan terperinci. Selain itu, di  dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Mengikut aras pembelajaran dari mudah ke sukar.

2. Pengajaran dan Pembelajaran
Semasa merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran guru mesti mengambil kira perkara seperti kebolehan dan keupayaan murid berbeza-beza. Sahsiah seseorang murid mempengaruhi gaya pembelajaran. Justeru, guru perlu mengenal pasti sahsiah murid bagi merancang kaedah dan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan.Guru mestilah membuat kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya mengambilkira kemudahan yang sedia ada dan juga masa yang diperuntukkan untuk mengajar.


Terdapat dua pendekatan yang boleh digunakan oleh guru iaitu pendekatan berpusatkan guru dan pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan berpusatkan guru menggunakan kaedah penerangan, penjelasan, bercerita, huraian, memberi nota, syarahan dan demonstrasi. Pendekatan berpusatkan murid pula boleh menggunakan kaedah  bercerita, bacaan, latih tubi, pembelajaran akses kendiri, inkuiri penemuan, soal jawab, main peranan, demonstrasi, penyelesaian masalah, sumbang saran, projek, pembelajaran koperatif dan amali.

3. Penilaian
Penilaian adalah suatu proses untuk mengesan perkembangan, kebolehan, keupayaan dan pencapaian murid. Penilaian juga adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan. Penilaian dalam Pembelajaran Masteri perlu dirancang, dibina, dikendali dan ditadbir oleh guru. Penilaian ini berbentuk formatif dan sumatif yang berasaskan Ujian Rujukan Kriteria. Kedua-dua penilaian ini bersifat diagnostik. Penilaian mestilah berdasarkan kepada Hasil Pembelajaran yang telah ditetapkan.Penilaian dalam Pembelajaran Masteri bertujuan untuk mengesan pencapaian murid, mengenal pasti murid yang cerdas, sederhana dan lemah, mengenal pasti sama ada Hasil Pembelajaran sudah atau belum dikuasai, mengenal pasti sebab kelemahan murid dalam sesuatu unit pembelajaran, menentukan aktiviti pemulihan dan pengayaan yang perlu dijalankan, menentukan keberkesanan kaedah, bahan atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penilaian Pembelajaran Masteri boleh dijalankan
mengikut masa yang difikirkan sesuai seperti semasa pengajaran dan pembelajaran, selepas sesuatu unit pembelajaran atau selepas tempoh tertentu seperti mingguan,
bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun.

4. Tindakan Susulan
Tindakan susulan dalam Pembelajaran Masteri dijalankan setelah kelemahan dan kekuatan pembelajaran murid dikenal pasti. Tindakan susulan ini bertujuan untuk memastikan kelemahan murid tidak terhimpun sehingga terjejas pembelajaran seterusnya. Seterusnya dapat memperkukuh dan mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikuasai. Tindakan susulan boleh dilakukan melalui aktiviti pemulihan dan pengayaan (pengukuhan dan pengembangan).

5. Aktiviti Pemulihan
Aktiviti pemulihan merupakan aktiviti yang dirancang untuk membantu murid yang belum melepasi aras masteri. Pemulihan dijalankan untuk memperbaiki kelemahan pembelajaran yang telah dikenal pasti. Pengajaran dan pembelajaran diubah suai dan dipelbagaikan mengikut tahap kebolehan dan keupayaan murid. Contoh aktiviti pemulihan yang boleh dijalankan adalah mengajar semula menggunakan kaedah atau bahan yang lain, membetulkan perlakuan yang salah, mengajar cara yang memudahkan untuk mengingat semula, menggunakan bahan visual, mempermudah dan mempelbagaikan latihan, menjalankan latih tubi, menggalakkan pembelajaran melalui rakan sebaya memotivasikan murid untuk belajar lebih bersungguh-sungguh, membimbing murid menyusun maklumat dalam bentuk ringkas seperti rajah, carta atau peta minda dan melatih murid mengenal pasti idea utama.

6. Aktiviti Pengayaan
Aktiviti pengayaan dijalankan untuk murid yang telah menguasai aras masteri. Aktiviti pengayaan dirancang untuk memberi peluang kepada murid menjalani aktiviti
pembelajaran yang lebih mencabar dan menarik, memperluas pengalaman dan memperkukuh kefahaman murid, menambahkan sifat ingin tahu dan meningkatkan
kemahiran berfikir dan meningkatkan semangat berdikari dalam pembelajaran. Terdapat dua aktiviti pengayaan iaitu, pengukuhan dan pengembangan.

7. Aktiviti Pengukuhan
Aktiviti pengukuhan bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid dalam unit pembelajaran yang sama. Contoh aktiviti pengukuhan yang boleh dijalankan adalah seperti memberi latihan yang lebih mencabar, memberi banyak latihan dalam pelbagai bentuk, melatih murid menyampaikan maklumat dalam pelbagai bentuk grafik seperti peta minda, carta
organisasi dan rajah, melatih murid membuat nota, menjalankan latih tubi, melatih murid mengenal pasti idea utama dan mengakses maklumat dari laman web.

8. Aktiviti Pengembangan
Aktiviti pengembangan bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran murid dalam unit pembelajaran yang sama. Aktiviti pengembangan ini lebih mencabar dan boleh dijalankan oleh murid secara terarah kendiri. Contoh aktiviti pengembangan adalah membuat projek, membuat tugasan dan membuat kajian.





Info dari KUMPULAN 5






Comments

Popular posts from this blog

TEORI BEHAVIORISME

Teori Behaviorisme terbahagi kepada dua jenis iaitu pelaziman klasik dan juga pelaziman opreran. Teori ini mengutamakan kemahiran fizikal. Ini kerana tokoh behavioris berpendapat bahawa pembelajaran merupakan satu perubahan tingkah laku cara seseorang bertindak dalam situasi tertentu. Teori Pelaziman Klasik Ivan Pavlov menekankan kepada pembentukan asas pembelajaran adalah melalui   perkaitan antara rangsangan dengan   tindak balas. Teori pelaziman Pavlov ini boleh diaplikasikan dalam bilik darjah dimana   guru perlu memberikan rangsangan kepada para pelajar untuk melihat gerak balas daripada rangsangan tersebut.  Contohnya, apabila guru memberikan pujian (rangsangan) terhadap pelajarnya setiap kali mendapat keputusan yang baik (gerak balas) maka gerak balas itu akan menghasilkan sesuatu yang baik dan berterusan. Teori Ivan Pavlov ini juga menekankan kepada 3 konsep utama iaitu generalisasi, diskriminasi dan penghapusan. Generalisasi boleh berlaku dalam bilik darjah apabila para pe

TEORI KONSTRUKTIVISME

Teori konstruktivisme berasaskan kepada tiga asas utama iaitu murid membina, meruntuh ( deconstruct ), dan membina semula pengetahuan mereka sendiri. Berikutnya, membina, meruntuh dan membina semula sesuatu makna ialah pembelajaran. Seterusnya, pembelajaran berlaku apabila murid menstruktur semula idea sedia ada dengan menghubungkaitkan idea baru dengan yang lama. Prinsip kontruktivisme terdiri daripada proses berterusan dan aktif, melibatkan aktiviti mental dan sosial, penggunaan bahasa, mempunyai konteks, pengetahuan untuk belajar, masa yang mencukupi, serta metakognisi (kesedaran dan kebolehan mengawal proses berfikir seseorang semasa pembelajaran) dan motivasi merupakan komponen penting dalam pembelajaran.                    Konstruktivisme berasaskan empat elemen iaitu permulaan atau mencungkil idea bertujuan membuat perkaitan dengan pengalaman murid. Kedua, penstrukturan semula ialah aktiviti menlibatkan penerokaan, hands-on, minds-on, hearts-on dan pentaksiran. Ketiga, menga

KAEDAH PENGAJARAN: PEMBELAJARAN KOPERATIF

KAEDAH PENGAJARAN: PEMBELAJARAN KOPERATIF DEFINISI PEMBELAJARAN KOPERATIF Pembelajaran koperatif ialah satu set proses yang membantu pelajar berinteraksi antara satu sama lain untuk mencapai satu matlamat khusus atau mendapatkan satu hasil akhir yang ada kaitan dengan isi kandungan mata pelajaran. Slavin (1982), mendefinasikan pembelajaran koperatif sebagai kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama. Pembelajaran koperatif juga dapat difahami sebagai pengajaran yang menggunakan kumpulan kecil di mana pelajar bekerja bersama-sama untuk memaksimumkan pembelajaran masing-masing dan pembelajaran sesama mereka. Maka, secara umumnya, pembelajaran koperatif memerlukan pelajar bekerjasama dalam kumpulan bagi mengatasi sesuatu masalah, memberi maklum balas dan berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain secara berstruktur. PENDEKATAN KAEDAH PEMBELAJARAN KOPERATIF Pendekatan kaedah p